
KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng menyifatkan pembukaan cawangan pertama Mixue Ice Cream & Tea di Malaysia Timur sebagai lebih daripada sekadar pelancaran sebuah premis baharu, sebaliknya menjadi permulaan bab baharu kerjasama perniagaan dan pertukaran antara China dan Malaysia.

Katanya, kehadiran jenama terkenal dari China itu, yang memiliki rangkaian bekalan kukuh, kapasiti pengeluaran besar serta daya tarikan unik, bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna tempatan tetapi juga menyuntik tenaga baharu kepada ekonomi bandar raya ini.
“Pembukaan cawangan pertama Mixue di Kuching bukan sekadar membawa produk minuman berkualiti kepada rakyat tempatan, malah menjadi bukti hubungan persahabatan yang semakin erat antara Kuching dan Zhengzhou di China,” ujarnya.
Wee berkata demikian ketika merasmikan Mixue Ice Cream & Tea di Farley Kuching, di sini hari ini.
Beliau menambah bahawa bandar raya Kuching dan Zhengzhou telah lama menjalinkan kerjasama erat dalam bidang perdagangan, budaya dan lain-lain, manakala Henan serta Zhengzhou memiliki kekuatan industri dan kelebihan logistik yang luas.
“Saya berharap Mixue Group dapat mempertimbangkan untuk menubuhkan hab rantaian bekalan Asia Tenggara di Kuching, memandangkan kedudukan strategik serta infrastruktur bandar raya ini yang serba lengkap,” jelasnya.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membolehkan Mixue mengembangkan pasaran Asia Tenggara dengan lebih berkesan, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh ekosistem industri tempatan.
Turut hadir Konsul Jeneral Republik China di Kuching, Xing Weiping; Pengarah Kumpulan Farley, Eijing Lau; Pengurus Besar MIXUE Malaysia, Wang Wei Long; dan Pengarah Cawangan MIXUE Kuching Farley, Aaron Wee.
Oleh Amanda L.