
KUCHING: Atlet Sarawak yang bakal menyertai Sukan Borneo 2025 diminta menampilkan semangat juang tinggi demi mengharumkan nama negeri, bukannya sekadar mengejar ganjaran kemenangan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Khairul Nizam Morshidi, menegaskan temasya sukan itu bukan sahaja soal pingat atau imbuhan, tetapi lebih kepada kebanggaan mempertahankan maruah Sarawak di persada Borneo.
“Apabila kita terlalu memikirkan tentang bonus, saya bimbang jika tiada bonus diberikan, semangat akan menurun. Kita perlukan ialah semangat berjuang demi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Motivasi Kem Kontinjen Pasukan Sarawak Untuk Sukan Borneo 2025 di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV), di sini, hari ini.
Menurut Khairul, kontinjen Sarawak kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik selepas menjalani pelbagai aktiviti persiapan sepanjang berada di SSV, termasuk latihan psikologi, pembinaan kerjasama berpasukan serta perincian strategi menghadapi pertandingan.
Katanya lagi, Sarawak akan menurunkan lebih 250 atlet, menjadikannya kontinjen terbesar pada edisi kali ini.
“Sabah telah mendaftar lebih daripada 150 atlet, Labuan lebih 80 atlet, manakala Kalimantan Timur dan Brunei Darussalam masing-masing antara 50 hingga 60 atlet,” ujarnya.
Untuk rekod, atlet dari Wilayah Persekutuan Labuan turut ditempatkan di SSV sepanjang temasya berlangsung.
Turut hadir pada sesi motivasi tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Frederick.
Oleh Shahrul Qaizat