
DARO: Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Malaysia ke-62 di Kampung Lemang Pek, di sini semalam berlangsung meriah dengan penyertaan penduduk setempat.
Program tersebut yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Ihsan itu mendapat kerjasama pelbagai persatuan dan komuniti tempatan yang bersama-sama menjayakan acara berkenaan.


APA KHABAR… Ahmad Johnie bersalaman sambil bertanya khabar orang ramai yang menghadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Malaysia ke-62 di Kampung Lemang Pek, semalam. Foto Facebook P207 Igan
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dalam ucapannya menegaskan, Hari Malaysia bukan sekadar simbol penyatuan dan perpaduan rakyat, tetapi juga pengikat silaturahim yang wajar sentiasa dipelihara.
Beliau turut memuji semangat muafakat penduduk Kampung Lemang Pek yang dizahirkan melalui kerjasama erat pelbagai persatuan dalam melaksanakan program kemasyarakatan.

Dalam pada itu, Ahmad Johnie bersama penduduk menunaikan solat berjemaah sebelum menghadiri bacaan tahlil sempena sambutan tersebut.
Oleh Akun Giman