

YANG di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pagi tadi telah mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Pertanian Sungai Sebiew. Foto: Astana Negeri Sarawak
BINTULU: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pagi tadi telah mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Pertanian Sungai Sebiew.
Tun Wan Junaidi diiringi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, bersama isterinya Datin Melinda Claudia.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah serta rombongan telah disambut oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan isteri, Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar, serta Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan isteri, Datin Sri Lorita.
Turut menyambut ketibaan ialah Timbalan Menteri M-FICORD, Datuk Martin Ben dan isteri, Datin Trina Tan, Setiausaha Tetap M-FICORD, Datu Sirai Daha, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti serta Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat.
Sejurus ketibaan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah telah menanam pokok durian jenis ‘Musang King’ dan ‘Blackthorn’ sebagai tanda kenangan lawatan.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah kemudiannya menerima taklimat ringkas oleh Pengarah Pertanian mengenai pusat latihan seluas 391 hektar yang menempatkan pelbagai tanaman dan ternakan sejak 1972.
Antara program yang sedang dilaksanakan ialah Taman Pertanian Tepat, Taman Kekal Keluaran Makanan dan Pusat Latihan Pertanian Cara Moden.
Tun Wan Junaidi turut mencadangkan agar bagi tanaman buah-buahan berskala besar, disediakan juga loji pemprosesan untuk memproses hasil tersebut bagi pasaran komersial.
Sebelum pulang, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menikmati jamuan tengah hari serta buah durian termasuk ‘durian isu’ daripada kawasan tempatan.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menzahirkan penghargaan kepada Dato Sri Dr. Stephen Rundi atas undangan dan layanan yang baik sepanjang lawatan tersebut.