Phil Mickelson memberitahu dia akan membuat penampilan di Kejohanan Jelajah PGA pada Isnin selepas terlepas peluang untuk melakukannya di Northern Trust.
Juara major lima kali yang menginjak usia 50 tahun pada Jun lalu masih belum beraksi di Jelajah Kejuaraan, yang sebelum ini dikenali Jelajah Senior.
Dia berkata menerusi Twitter bahawa kegagalan mara pada hujung minggu dan acara kedua minggu depan pada playoff Piala FedEx memberi peluang terbaik kepadanya.
“Saya sudah beraksi dengan baik dan saya mahu bermain,” catat Mickelson selepas melengkapkan pusingan dua 68 di Northern Trust dekat TPC Boston.
“Saya berharap saya dapat beraksi di Chicago minggu depan dan teruja untuk bermain acara pertama kejuaraan.”
Buat pertama kali dalam karier, Mickelson gagal mara ke pusingan kedua playoff di Jelajah AS.
Mickelson akan beraksi Isnin ini pada Siri Charles Schwab di Ozarks National dekat Ridgedale, Missouri yang akan berlangsung hingga Rabu.
Kejohanan itu akan memberikannya pengalaman pada saingan kompetitif sebelum Terbuka AS bulan depan selepas penangguhan kerana pandemik Covid-19 yang dijadualkan berlangsung di Winged Foot.
Awal tahun ini, Mickelson berkata dia tidak pasti boleh mula beraksi dalam jelajah Kejuaraan tahun ini, selepas memikirkan hanya mampu bersaing di Jelajah PGA.
Mickelson mencatat pelbagai keputusan dalam Jelajah PGA musim ini. Dia menamatkan saingan di tempat ketiga Pebble Beach Pro-Am pada Februari tapi terlepas saingan berikutnya sebelum acara terhenti selama tiga bulan kerana pandemik Covid-19.
Sejak aksi disambung semula dia menamatkan saingan di tempat kedua Kejohanan Golf Dunia Jemputan St Jude, tapi terlepas peluang menempatkan diri dalam kelompok 50 teratas dalam tiga acara.-AFP