
MIRI: Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah terus membuahkan hasil apabila Pusat Darah Hospital Miri merekodkan 8,424 pendaftaran sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, dengan 6,633 orang berjaya tampil sebagai penderma.
Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Persatuan Hakka Miri, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata daripada jumlah itu, 1,103 merupakan penderma baharu manakala 1,865 lagi merupakan penderma tertangguh.
“Data ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan. Saya berharap momentum ini dapat diteruskan untuk mencapai sasaran lebih 10,000 penderma pada 2025,” katanya semasa merasmikan Kempen Derma Darah 2025 anjuran Seksyen Pemuda Persatuan Hakka Miri, hari ini.
Menurut beliau, statistik bulanan bagi tahun ini menunjukkan Februari mencatat jumlah penderma tertinggi dengan 953 orang, diikuti Julai (913) dan Mei (892). Bulan-bulan lain termasuk Januari (679), Mac (819), April (814), Jun (752) dan Ogos (811).
Daripada keseluruhan penderma, 4,111 adalah lelaki dan 2,522 wanita.
Lee turut menjelaskan bahawa Hospital Miri bukan sahaja menampung keperluan tempatan, malah turut membantu hospital-hospital lain di Bintulu, Limbang, Lawas, Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya bagi bekalan darah jenis khas yang sukar diperoleh.
“Ini mencerminkan semangat kasih sayang, perpaduan dan tanggungjawab warga Miri terhadap masyarakat luas. Nilai ini harus kita pertahankan,” tambah beliau.
Lee turut memuji usaha berterusan Seksyen Belia Persatuan Hakka Miri yang telah menganjurkan kempen derma darah sejak 2008, dan kini memasuki tahun ke-17 penganjuran.
Beliau menggalakkan penglibatan belia berusia 18 tahun ke atas sebagai penderma jangka panjang, dan menasihati golongan berusia lebih 60 tahun untuk menilai tahap kesihatan sebelum menderma.
“Setiap beg darah adalah satu harapan baharu untuk pesakit. Inilah makna sebenar kasih sayang dan perpaduan yang ingin kita semai,” tegasnya.
Kempen kali ini mencatatkan 103 pendaftaran, dengan 88 orang berjaya menderma.
Lee menggesa lebih banyak pertubuhan, syarikat korporat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) agar berganding bahu dalam menyokong kempen derma darah untuk memastikan stok darah sentiasa mencukupi.
“Saya berterima kasih atas sokongan masyarakat. Kita mahu memastikan tiada pesakit perlu bimbang tentang kekurangan darah ketika memerlukannya,” ujarnya.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, Ketua Pemuda Seksyen Belia Persatuan Hakka Miri, Andy Jong Wan Joon, serta Pengerusi Pengelola, Chong Fuong Liang.
Oleh Liong Chai Ling