
SANTUBONG: “Kesihatan tidak boleh ditangguh. Jangan tunggu sakit baru bertindak.”
Itu peringatan tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri ketika melancarkan Program Kesedaran Kanser di Kampung Pasir Pandak hari ini.
Beliau menegaskan pengesanan awal penyakit amat penting kerana ia bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa tetapi juga masa depan keluarga.
“Ramai mungkin rasa diri sihat, tetapi tanpa pemeriksaan risikonya lebih tinggi. Jadikan pemeriksaan kesihatan satu amalan keluarga, sama seperti kita menjaga rumah atau tugasan kerja kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sihat Bersama untuk Malaysia di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Pandak.

Program anjuran Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser (SCAN) dengan sokongan Pusat Perubatan Timberland serta agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu menyediakan pelbagai khidmat kesihatan secara percuma kepada penduduk setempat.
Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan umum, ujian mammogram, ujian HPV, sesi ceramah pakar serta perkongsian daripada pejuang kanser.
Selain itu, aktiviti zumba, pameran kesihatan dan kaunter kaunseling turut diadakan untuk menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Nancy turut menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), doktor, sukarelawan serta rakan strategik yang sanggup meluangkan masa hujung minggu demi kesejahteraan rakyat.
Beliau menggesa agar masyarakat mengambil peluang yang disediakan serta menyebarkan kesedaran ini kepada keluarga dan jiran tetangga.
“Kesihatan yang baik membawa harapan dan harapan membuka jalan kepada kemajuan. Apabila kita sihat bersama, kita maju bersama,” ujarnya.
Sepanjang program, pelbagai pengisian turut diadakan termasuk ceramah kanser wanita oleh Pakar Runding Bedah Payudara dan Endokrin Pusat Perubatan Timberland, Dr Adibah Ali serta ceramah kanser umum oleh Pakar Onkologi Klinikal Hospital Umum Sarawak, Dr Izzati Wan Maharuddin.
Turut menyerikan acara ialah sesi panel bersama pejuang kanser, zumba poco-poco dan karnival mini bersama penduduk Kampung Pasir Pandak. Oleh Shahrul Qaizat