
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu 10.
Peruntukan tersebut digunakan untuk tiga projek utama iaitu pembinaan pagar baharu bagi meningkatkan keselamatan sekolah, menaik taraf serta membaik pulih tandas untuk kebersihan yang lebih baik, serta pembinaan penutup longkang di sekeliling blok sekolah bagi memastikan persekitaran lebih bersih dan selamat.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan terjamin kepada para pelajar, guru serta ibu bapa.
“Pendidikan adalah asas kepada masyarakat. Jadi, dengan menaik taraf kemudahan sekolah, kita bukan sahaja membina infrastruktur tetapi juga melabur untuk masa depan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerja-kerja penambahbaikan tersebut dijangka meningkatkan kesejahteraan warga sekolah serta mewujudkan suasana pembelajaran positif untuk pelajar di sekolah berkenaan.