
LAWAS: Pelan pembangunan bandar baharu Trusan akan digerakkan secara terancang bersesuaian dengan peruntukan sedia ada.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa memberitahu bahawa setakat ini tumpuan adalah kepada menyiapkan masjid baru Kampung Tengah Trusan dan kawasan perumahan untuk pemilik kedai lama sementara di Trusan.
“Kita akan terus bangunkan masjid baharu Trusan dengan peruntukan sedia ada dan kerja tambahan akan disusulkan permohonan tambahan.
“Hal ini bagi memastikan kos projek dapat diguna dengan sebaik mungkin kerana jika menunggu untuk peruntukan baharu yang diperlukan akan membabitkan kos tambahan dan masa, ” katanya selepas menghadiri mesyuarat pembangunan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari bagi zon Trusan di pejabat daerah Lawas semalam.

Selain itu, mesyuarat turut menyentuh aspek pembangunan bagi perhubungan jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik yang menjadi masalah di kawasan Trusan.
Mesyuarat dipengerusikan Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Limbang, Mahathir Jokeni dan ketua-ketua jabatan teknikal lainnya.
Terdahulu, Unus mengingatkan agar semua agensi terlibat untuk saling berkomunikasi dalam memastikan sebarang isu di lapangan dapat diselesaikan dengan baik.
Awangku Jinal Abedin turut mengingatkan ahli mesyuarat agar memastikan pelan pembangunan untuk DUN Bukit Sari ini dapat disempurnakan dengan baik dan sejajar dengan aspirasi kepimpinan setempat khususnya Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Oleh Adeng Edrus