
KUCHING: Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kini dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada satu majlis yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Cassidy Morris, hari ini.
Projek bernilai RM112.9 juta itu merangkumi pembinaan laluan baharu sepanjang 6.2 kilometer, penaiktarafan persimpangan utama, pembinaan tiga jambatan konkrit bertetulang (RC), sebuah terowong bawah tanah (underpass), serta pemasangan Sistem Lampu Landasan yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
Menurut Cassidy, siapnya projek ini memberi impak besar kepada rakyat dengan mempercepatkan masa perjalanan ke lapangan terbang, mengurangkan kesesakan jalan raya di sekitar bandar raya Kuching dan meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.


SUASANA sekitar Pembukaan Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.
“Laluan ini bukan sahaja mempercepatkan akses ke LTAK, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem logistik, pelancongan dan sosioekonomi Sarawak secara keseluruhannya,” jelas beliau.
Cassidy turut menegaskan bahawa laluan baharu ini dapat mengurangkan kesesakan trafik yang sering dialami oleh pengguna dari Kota Samarahan menuju ke Bandaraya Kuching, sekali gus menawarkan alternatif perjalanan yang lebih efisien.
“Dengan adanya infrastruktur moden seperti ini, kita bukan sahaja menyelesaikan masalah trafik semasa, tetapi turut menyediakan asas yang kukuh bagi menyokong pembangunan masa depan serta memenuhi keperluan generasi akan datang,” jelasnya.
Dengan pembukaan jalan tersebut, orang ramai kini dapat menikmati perjalanan lebih pantas dan aliran trafik lebih lancar selain turut merasai manfaat jaringan infrastruktur moden yang menyokong pertumbuhan pesat kawasan sekitar Kuching dan Samarahan.
Oleh Norman B