
MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah mengadakan Mesyuarat Penggunaan E-PG di Mahkamah Sarawak di Bilik Mesyuarat, Kompleks Mahkamah Miri, di sini semalam.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, mesyuarat penting ini telah dipengerusikan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
Katanya, agenda utama mesyuarat adalah membincangkan penggunaan sistem E-PG di Mahkamah Sarawak dan beberapa hal lain yang berkaitan dengan pengurusan serta pelaksanaan urusan mahkamah secara digital.
“Perbincangan ini mencerminkan usaha berterusan ke arah memperkasakan pendigitalan urusan kehakiman selaras dengan perkembangan semasa, di samping meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Komitmen bersama yang ditonjolkan melalui mesyuarat ini diyakini mampu memberikan impak positif dalam melancarkan operasi dan memperkukuh kerjasama strategik antara JPJ dan institusi kehakiman di Sarawak,” katanya.
Rombongan JPJ Sarawak telah diketuai oleh Ketua Cawangan JPJ Miri Fifi Suhesty. Kehadiran para Ketua Unit Pendakwaan Cawangan dari JPJ Sarawak turut memberikan komitmen penuh dalam menjayakan mesyuarat ini.
Oleh Adum Liu