
MIRI: Orang ramai dijemput untuk menyertai Kempen Derma Darah dan Ikrar Derma Organ bersempena Hari Malaysia pada 16 September ini.
Kempen anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Miri dengan kerjasama Persatuan Guang Ning Miri dan Tabung Darah Hospital Miri akan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di Aster Hall, Aras Bawah, BSMM.
Antara aktiviti disediakan ialah pemeriksaan kesihatan percuma meliputi tekanan darah, glukosa, asid urik, pemeriksaan postur, serta pendaftaran saringan mamogram dan HPV DNA percuma.
Jurucakap BSMM Miri berkata, kempen itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan orang ramai tampil menderma darah, malah memberi kesedaran mengenai pentingnya ikrar sebagai penderma organ.
“Derma darah adalah tindakan mudah dan selamat yang mampu menyelamatkan nyawa.
“Pada masa sama, ia memberi manfaat kepada kesihatan penderma sendiri,” katanya.
Sebagai penghargaan, 120 penderma darah terawal yang berjaya akan menerima beras wangi 5 kilogram, barangan cenderahati dan sijil penghargaan.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi pejabat BSMM Miri di talian 085-41121 atau WhatsApp 011-54065045.
Oleh Liong Chai Ling