
ASAJAYA: Program Hari Bersama Pelanggan (HBP) Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Siri 2/2025 berjaya menarik penyertaan ketua kaum, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat dalam sesi santai yang berlangsung di Pejabat Daerah Asajaya, Bahagian Samarahan, hari ini.
Program anjuran Cawangan Komunikasi Korporat Ibu Pejabat JBALB Sarawak itu menampilkan pelbagai pengisian, termasuk taklimat mengenai fungsi serta peranan JBALB yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Awang Fardillah Awang Hussin.
Sementara itu, Jurutera Air Bahagian JBALB Samarahan, Adzahari Baini turut memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini operasi serta projek pembangunan air luar bandar khususnya di daerah Asajaya.
Program HBP ini menjadi medium penting dalam memperkukuhkan hubungan JBALB dengan masyarakat melalui khidmat pelanggan, pameran dan sesi perkongsian maklumat bersama rakan strategik.
Inisiatif ini turut membuka ruang interaksi lebih dekat antara pihak jabatan dengan penduduk setempat, sekali gus mendengar secara langsung keperluan dan pandangan masyarakat.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada agensi yang menjayakan pameran perkhidmatan, antaranya Service Sarawak SCSDU, SAINS, serta ejen Bank Simpanan Nasional (BSN) yang memberi penerangan berhubung pelbagai kemudahan perbankan digital.
Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin.
Oleh Norman B