
BINTANGOR: Sebanyak 300 bendera Jalur Gemilang dan bendera Sarawak diedarkan kepada orang ramai di sini hari ini, sempena sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing hadir menyempurnakan edaran bendera tersebut yang dijalankan di sekitar kawasan Bintangor.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan menyemai semangat patriotik dan rasa cinta terhadap negara dalam kalangan masyarakat setempat.
“Sebanyak 300 bendera diagihkan kepada pengguna jalan raya di kawasan ini sebagai tanda menzahirkan rasa cinta kepada negara.
“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak dan semoga semua rakyat sentiasa bersatu padu,” katanya ketika ditemui media.
Pengagihan bendera tersebut merupakan anjuran Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.

Koung Hiing yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor berharap semua rakyat Malaysia sentiasa hidup bertolenransi, bersatu dan makmur.
“Kepada semua ahli SUPP, saya berharap ahli muda dan veteran dapat berganding bahu menguatkan parti agar dapat bersama-sama menyumbang kepada usaha pembinaan negara Malaysia dan Sarawak.
“Semangat perpaduan perlu terus dipupuk agar Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik untuk didiami oleh semua rakyat,” katanya.
Oleh Earl Anek