Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Apple perkenal iPhone 17 Air di tengah persaingan AI dan tekanan tarif
  • TEKNOLOGI

Apple perkenal iPhone 17 Air di tengah persaingan AI dan tekanan tarif

Utusan Sarawak 3 days ago
KETUA Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, memegang iPhone 17 Pro baharu semasa acara khas Apple di ibu pejabat syarikat itu pada 9 September 2025 di Cupertino, California. Apple memperkenalkan generasi baharu iPhone serta kemas kini untuk Apple Watch dan AirPods dalam acara khas tersebut. Foto AFP

SAN FRANCISCO: Apple memperkenalkan barisan iPhone 17 pada Selasa, menampilkan telefon pintar paling nipis yang pernah dihasilkan syarikat itu, ketika gergasi teknologi tersebut berusaha membuktikan kemampuannya untuk kekal relevan dalam perlumbaan kecerdasan buatan generatif (AI).

Syarikat berpangkalan di Lembah Silikon itu mengadakan acara tahunan pelancaran iPhone dalam suasana yang semakin mencabar.

Rumah Putih mendesak Apple mengurangkan kebergantungan terhadap pembuatan di China, sementara pelabur pula terus mempersoalkan sejauh mana Apple benar-benar bersedia menghadapi era AI.

Menambah tekanan sedia ada, Apple turut terkesan dengan dasar tarif tinggi yang diperkenalkan Presiden Donald Trump. Sejak pemimpin Republikan itu kembali memegang jawatan pada Januari lalu, saham Apple telah merosot lebih 3 peratus.

IPHONE 17 Pro dipamerkan semasa acara “Awe-Dropping” anjuran Apple di Teater Steve Jobs, kampus Apple Park, Cupertino, California, pada 9 September 2025. Foto AFP

Dalam menghadapi tekanan pelbagai arah ini, Apple mempertaruhkan barisan produk baharu yang diharapkan mampu mencetuskan ‘kitaran besar’ pembelian iPhone, sekali gus mengubah trend pengguna yang kini cenderung menyimpan peranti mereka lebih lama sebelum menaik taraf.

“Acara ini menunjukkan Apple mengelak daripada terlibat secara langsung dalam perlumbaan AI, sebaliknya menampilkan diri sebagai peneraju jangka panjang dalam inovasi perkakasan AI melalui silikon dan integrasi peringkat peranti,” kata penganalisis Emarketer, Gadjo Sevilla.

Sebagai usaha menyuntik semula daya tarikan jenama, Apple melancarkan iPhone 17 Air, yang digambarkan Ketua Pegawai Eksekutif Tim Cook sebagai “sesuatu yang benar-benar mengubah permainan.”

Dengan ketebalan hanya 5.6 mm (kurang daripada suku inci), peranti berharga AS$999 ini dikuasakan oleh cip A19 Pro, cip iPhone paling berkuasa setakat ini dan menawarkan hayat bateri sepanjang hari, termasuk sehingga 40 jam main balik video.

Model Air menyertai barisan iPhone 17 lain, termasuk iPhone 17 Pro, model paling premium dan berprestasi tinggi dalam siri ini.

Walaupun semua model baharu hadir dengan teknologi AI generatif, Apple tidak membuat sebarang pengumuman besar mengenai peluasan keupayaan AI mereka, selain daripada penambahbaikan kecil dalam rangkaian ciri “Apple Intelligence.”

SEORANG pengunjung merakam video paparan iPhone 17 Pro baharu semasa acara khas Apple di ibu pejabat syarikat itu pada 9 September 2025 di Cupertino, California. Foto AFP

Usaha AI Apple sejak pelancaran Apple Intelligence pada lewat tahun lalu telah menerima kritikan kerana gagal memberikan impak besar, terutamanya dari segi kemajuan pembantu maya Siri yang masih dianggap asas, walaupun pelbagai janji peningkatan telah dibuat bertahun-tahun lamanya.

Apple dilaporkan bercadang untuk mengintegrasikan AI ke dalam carian internet dan membangunkan semula Siri menjelang tahun hadapan, namun belum ada pengesahan rasmi.

Syarikat itu juga dikatakan berbincang dengan Google bagi memanfaatkan kepakaran AI dan teknologi carian milik gergasi tersebut.

“Untuk benar-benar menonjol dan mengatasi pesaing, Apple perlu menjadikan AI sebagai antara muka pengguna kontekstual yang baharu dalam peranti mereka,” kata penganalisis Forrester, Thomas Husson.

“Melaksanakan strategi AI yang ambisius ini akan mengambil masa. Ia mungkin hanya berlaku pada tahun depan — atau bertepatan dengan ulang tahun ke-20 iPhone pada tahun 2027,” tambah beliau.

Penganalisis industri melihat iPhone 17 Air sebagai satu peralihan strategik, dengan Apple kini menjadikan reka bentuk ultra-nipis bukannya saiz skrin sebagai nilai jualan utama bagi model premium mereka.

Reka bentuk nipis ini juga dipercayai membuka jalan kepada pengeluaran iPhone boleh lipat, yang telah lama menjadi bahan spekulasi, dan dijangka muncul seawal tahun depan.

Pada masa ini, Samsung dan Huawei telahpun berada di hadapan dengan barisan telefon pintar boleh lipat masing-masing.

Namun, mereka bentuk peranti setipis ini bukan tanpa cabaran antaranya kos pengeluaran lebih tinggi dan ruang bateri yang lebih terhad.

Meskipun begitu, Apple mendakwa iPhone 17 Air mampu bertahan sehingga 24 jam dengan pengecasan penuh.

Walaupun berdepan kenaikan kos akibat tarif import, Apple memilih untuk mengekalkan harga iPhone 17 sama seperti model tahun sebelumnya satu langkah yang mungkin menjejaskan margin keuntungan syarikat.

Tim Cook sebelum ini mendedahkan bahawa tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Trump telah menyebabkan Apple menanggung kerugian sebanyak AS$800 juta pada suku lepas, dan dijangka memberi impak sehingga AS$1.1 bilion pada suku semasa.

Selepas pengumuman harga dibuat, saham Apple jatuh sebanyak 1.40 peratus, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap daya tahan keuntungan Apple dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Selain iPhone, Apple turut melancarkan AirPods Pro 3 dengan pembatalan hingar lebih baik dan terjemahan masa nyata, serta Apple Watch Series 11 yang menyokong 5G, bateri tahan lebih lama dan pemantauan kesihatan jantung. – AFP

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Jejak inovasi sosial platform penting pacu idea komuniti
Next: Sarawak lancar inovasi hijau, sisa isirung kelapa sawit dijana jadi tenaga baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.