KUCHING: Bahagian operasi Sarawak Energy tetap berwaspada dalam menjaga keadaan infrastruktur dan peralatan elektriknya dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijadualkan tepat pada masanya untuk memastikan bekalan elektrik berterusan dan boleh dipercayai untuk kawasan luar bandar.
Namun, untuk menjangkau isi rumah di seluruh negeri, talian penghantaran dan pengedaran Sarawak berjalan jauh di sepanjang atau melalui hutan, kebun dan ladang.
Hal ini turut menimbulkan cabaran yang besar disebabkan oleh hidupan liar.
Gangguan hidupan liar memberi impak besar kepada penyaluran bekalan elektrik di kawasan luar bandar.
Sejak Januari tahun ini, Sarawak Energy di Wilayah Tengah yang meliputi Sibu dan kawasan sekitarnya telah mencatatkan 19 kes kehadiran hidupan liar di talian elektrik.
Pelanggan di Mukah, Dalat, Matu, Bintangor dan Sarikei mengalami gangguan akibat faktor unik ini.
Pada 30 Mac, pelanggan di Dalat dan sebahagian Judan mengalami gangguan elektrik pada jam 12.48 tengah hari dan pasukan teknikal telah mengesan punca masalah yang disebabkan oleh monyet yang terenjat elektrik kerana mereka menemui bangkainya di salah satu tiang kuasa.
Bekalan ke kawasan yang terjejas pulih sepenuhnya pada jam 1.34 tengah hari.
Pada 27 Mac sekitar jam 6 petang, sekumpulan monyet bergayut di talian elektrik bervoltan tinggi di Matu-Daro dan telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang mempengaruhi bekalan ke kampung-kampung di daerah itu.
Kira-kira 1100 pelanggan di Kampung Tian, Kampung Berjaya, Kampung Sekaan Kecil, Kampung Sekaan Besar, Matu Bazaar, Kampung Sok dan Kampung Jemoreng terjejas.
Bekalan elektrik ke kawasan yang terjejas pulih sepenuhnya jam 6.18 petang, kira-kira 20 minit kemudian.
Timbalan Presiden Bahagian Pengedaran Sarawak Energy, Yusri Safri berkata gangguan yang disebabkan oleh hidupan liar adalah salah satu cabaran yang dihadapi oleh pasukan operasi ketika bertugas di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman.
“Walaupun kami dapat segera mengerahkan pasukan teknikal untuk memulihkan bekalan kepada pelanggan kami, ianya sangat membimbangkan melihat haiwan ini terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi,” kata Yusri.
Yusri berkata mereka sedang mencari cara untuk mengurangkan situasi termasuk mengubah dari konduktor tidak bertutup ke konduktor tertutup, tetapi ini akan dilakukan secara bertahap.
“Ini akan mengurangkan insiden gangguan berkaitan haiwan dan juga merupakan pendekatan berkelanjutan untuk pengurusan hidupan liar di daerah-daerah ini,”jelasnya.
Beliau menambah bahawa sebelum saluran elektrik diaktifkan semula, pasukan teknikal perlu melakukan rondaan di saluran yang terjejas untuk memastikan semua langkah keselamatan dipertimbangkan, yang meliputi kemungkinan talian atau tiang jatuh di sepanjang peregangan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan semua orang berdekatan kemudahan elektrik kita dan kita memandang serius perkara ini. Untuk laluan talian elektrik yang lebih panjang, mungkin memerlukan sedikit masa untuk melakukan rondaan terutama ketika berlaku pada waktu malam, di bawah cuaca yang tidak menentu atau kawasan dengan persekitaran yang kurang baik.
“Saya harap pelanggan dapat memahami cabaran yang kami hadapi. Walaupun begitu, kami tetap berkomitmen untuk melakukan yang terbaik untuk meminimumkan masa gangguan,” ujar Yusri.
Pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel ke customercare@sarawakenergy.com untuk mendapatkan bantuan.
Bekalan elektrik terputus juga dapat dilaporkan melalui aplikasi mudah alih Sarawak Energy “SEB cares”, yang tersedia di Google Play Store Android dan juga Apple App Store untuk IOS.