ZINEDINE Zidane berkata membimbing Real Madrid untuk menjuarai La Liga pada musim yang terganggu ketika penularan Covid-19 merupakan hari terbaik dalam karier profesionalnya.
Ikon bola sepak Perancis berusia 48 tahun itu menegaskan momen itu akan kekal sebagai hari yang tidak dapat dilupakan dalam kariernya termasuk memenangi Piala Dunia 1998 sebagai pemain.
Kekecewaan tunggal musim ini adalah tersingkir pada saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara ke atas Manchester City.
“Kami meletakkan sasaran untuk menang La Liga pada tahap yang sangat tinggi,” kata Zidane.
“Selepas tempoh berkurung akibat Covid-19, mengetahui bahawa kami mungkin tidak akan mula bermain semula, kerana itu yang berlaku namun akhirnya kami berjaya merangkul geleran La Liga dan bagi saya ia adalah hari paling gembira.
“Walaupun kami sering menyatakan mengenai Liga Juara-Juara, ya, ia sangat hebat, menakjubkan dan saya tidak mahu membandingkannya.
“Apabila kami menang dalam saingan sukar ini, ini adalah saingan La Liga yang rumit, ia sememangnya hari terbaik dalam karier profesional saya.”
Zidane menambah dia mungkin memikirkan mengambil langkah untuk mengendalikan skuad kebangsaan Perancis pada masa depan.
“Seperti yang saya katakan banyak kali bertahun-tahun lalu. Jika saya sebagai jurulatih, kenapa tidak satu hari nanti saya melatih pasukan Perancis?” kata Zidane.
Bekas bintang Real Madrid itu mempunyai 108 kap penampilan sebagai pemain bersama Perancis, beraksi ketika pasukan itu menang Piala Dunia 1998.
Bagaimanapun, karier antarabangsanya berakhir dengan insiden mengaibkan apabila dilayangkan kad merah pada final 2006 berdepan Itali.
“Saya tidak mempunyai perancangan dalam karier. Saya gembira jalani latihan hari ini sama seperti ketika sebagai pemain dulu. Apabila ia tidak berjaya dilakukan atau sesuatu perlu dilakukan, saya lakukan dengan cara berbeza.”-AFP