
MARUDI: Pasukan Kuching dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Xiang Qi Sarawak 2025, anjuran Persatuan Xiang Qi Sarawak dengan kerjasama Kelab Xiang Qi Baram dan SJK (C) Chung Hua Marudi.
Tempat kedua dimenangi oleh Pasukan Miri, manakala tempat ketiga dan keempat disandang oleh Pasukan Miri dan Kota Samarahan.
Majlis penangguhan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil di Chan Restoran, malam tadi.
Kejohanan Xiang Qi atau Catur Cina yang berlangsung selama tiga hari di SJK (C) Chung Hua Marudi ini merupakan khazanah budaya tradisional Cina yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.
Menurut beliau, kejohanan ini terkenal dengan strategi halus dan kebijaksanaan mendalam yang telah lama digemari masyarakat Cina.
“Selama tiga hari kejohanan ini berlangsung, ia menyaksikan pertembungan minda dan pertarungan kemahiran yang penuh kehebatan intelektual,” ujarnya.
Beliau menambah, setiap langkah di atas papan catur adalah hasil kebijaksanaan dan setiap strategi mencerminkan suara jiwa dan minda pemain.
Menurutnya, kelab Xiang Qi menjadi tonggak penting dalam memajukan permainan ini, di mana hasil ketabahan dan usaha gigih para perintis telah membina asas kukuh kepada perkembangan Xiang Qi yang dinikmati oleh masyarakat Cina hari ini.
Oleh Jiku Juguong