
LIMBANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang telah menghulurkan bantuan awal kepada mangsa rumah roboh akibat tanah runtuh susulan hujan lebat pada petang semalam di Kampung Bakol hari ini.
Bantuan awal itu disampaikan oleh wakil JKM, Agnes Tegala kepada mangsa Zakri Zainal dan lima ahli keluarga lain bagi meringankan beban yang ditanggung, sementara menunggu bantuan susulan lain.
“JKM juga akan menyalurkan bantuan seterusnya secara kredit ke akaun mangsa setelah siasatan lengkap dijalankan dan mangsa disahkan layak menerima bantuan penuh di bawah skim sedia ada,” katanya semasa penyerahan bantuan itu hari ini.
Dalam kejadian sekitar 5.30 petang semalam, rumah mangsa runtuh secara tiba-tiba selepas hujan lebat berterusan menyebabkan paras air naik mendadak, sekali gus melemahkan struktur tanah di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana kesemua ahli keluarga tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.
Oleh Adeng Edrus