

ANGGOTA bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan. Foto: PGO JBPM Sarawak
BETONG: Seorang pejalan kaki lelaki berusia sekitar 40-an cedera selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga di hadapan Dewan Rentap, di sini, tengah malam tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 12.08 tengah malam.
Sepasukan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati seorang lelaki tersepit di bawah kenderaan terbabit.
“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas iaitu beg pengangkat udara bagi mengangkat kenderaan berkenaan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi berkenaan melibatkan enam anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera dan sebuah ambulan bomba, selain turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan petugas KKM.
Operasi tamat sepenuhnya pada 12.37 tengah malam setelah keadaan disahkan selamat.
Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan ditemui di lokasi.
Oleh Adi Safarman