
KUANTAN: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta anak mereka, Tasneem, telah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah tengah hari tadi.
Ketibaan ini turut diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta isteri beliau, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh telah disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Mohamad Najib yang juga wakil rasmi kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.

Sejurus ketibaan, Tun Wan Junaidi telah mengaminkan bacaan doa yang dipimpin oleh Qadhi Kuantan Barat, Ustaz Badaruddin.
Lawatan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ke Negeri Pahang Darul Makmur kali ini adalah bersempena Majlis Penutupan Temasya Warisan Pahang yang akan berlangsung di Muzium Kontemporari Pahang pada malam ini, yang akan disempurnakan oleh Sultan Pahang.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan doa agar segala urusan sepanjang lawatan ini dipermudahkan dan membawa manfaat kepada semua pihak.