
TOKYO: Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengadakan lawatan strategik ke Jepun bagi memperkukuh usaha kesiapsiagaan dan pengurusan bencana di negeri ini.
Delegasi yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Timbalan Pengerusi JPBN, Dato Sri Fatimah Abdullah melawat ke Tokyo Metropolitan Government (TMG), The Nippon Foundation dan Taman Pencegahan Bencana Tokyo Rinkai.
Di TMG, rombongan didedahkan kepada cara Tokyo menyelaras pengurusan bencana merentasi pelbagai agensi dengan menekankan kepentingan pusat kawalan berpusat, protokol komunikasi jelas serta perancangan laluan pemindahan, pusat perlindungan kecemasan dan keselamatan infrastruktur.

Lawatan ke The Nippon Foundation pula memberi pendedahan tentang peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menggerakkan sukarelawan, mengagihkan bantuan dan menyokong komuniti terjejas melalui kerjasama awam-swasta.
Di Taman Pencegahan Bencana Tokyo Rinkai, delegasi berpeluang mengikuti simulasi bencana seperti gempa bumi dan tsunami yang menekankan kepentingan pendidikan berterusan dan latihan praktikal untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat.
Tambah beliau, Jepun membuktikan bahawa ketahanan bencana hanya dapat dibina melalui tadbir urus mantap, inovasi, pendidikan berterusan serta penglibatan masyarakat.
“Daripada penyelarasan TMG kepada inisiatif yang didorong oleh komuniti The Nippon Foundation dan latihan amali di Taman Rinkai, kami telah melihat bagaimana pendekatan yang berbeza disatukan dan mengutamakan menyelamatkan nyawa bersama.
“Sarawak boleh menyesuaikan pengalaman ini untuk mengukuhkan kesiapsiagaan bencana dan strategi pengurusan kita sendiri,” ujarnya.
-UKAS