
ENGKILILI: Projek Pembinaan enam bilik darjah, asrama yang menampung seramai 200 pelajar dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili kini berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata projek bernilai kira-kira RM22.5 juta itu telah mencapai kemajuan 61 peratus sejak dimulakan pada 2 Mei 2023.
“Projek ini penting bagi memastikan warga SMK Engkilili mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
“Dengan jadual semasa, ia dijangka siap tepat pada waktunya, iaitu Februari 2026,” katanya selepas melakukan tinjauan tapak projek tersebut dekat sini hari ini.

Projek yang dilaksanakan secara reka dan bina (D&B) dengan Welfield Services Sdn Bhd sebagai kontraktor itu melibatkan pembinaan bangunan akademik enam bilik darjah, asrama untuk 200 pelajar, bekalan elektrik, rumah pam, tangki air serta beberapa kemudahan sokongan lain.
SMK Engkilili kini menampung 1,068 murid dengan bantuan 89 guru dan 14 kakitangan pelaksana.
Apabila siapnya projek ini kelak, ia dijangka memperkukuh ekosistem pembelajaran serta menyokong agenda Malaysia MADANI yang menekankan nilai prihatin, ihsan dan sejahtera.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini turut menggesa semua pihak berkaitan agar kekal komited dalam memastikan projek disiapkan mengikut jadual.
Oleh Adi Safarman