
SARIKEI: Meskipun hujan membasahi bumi, lebih 3,000 peserta daripada 44 kontinjen tetap bersemangat menyertai perarakan dan perbarisan Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah/2025 Masihi peringkat Bahagian Sarikei.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab melahirkan rasa syukur kerana majlis tersebut dapat berlangsung dengan penyertaan pelbagai pihak yang jelas mencerminkan semangat perpaduan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa sambutan Maulidur Rasul wajar diteruskan sebagai komitmen bersama untuk memartabatkan ummah Nabi Muhammad SAW.


PESERTA perarakan dan perbarisan Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah/2025 Masihi peringkat Bahagian Sarikei.
“Tema tahun ini, Ummah Maju Makmur, amat bertepatan dengan usaha kita menyatukan fikiran, menyeragamkan tindakan dan memacu kecemerlangan, bukan sahaja demi negeri dan negara tetapi juga bagi memastikan masyarakat Islam terus bersatu padu, maju dan makmur,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian acara berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam agar berpegang teguh kepada ajaran Islam serta menjauhi perpecahan, dengan merujuk firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 103 dan hadis Rasulullah SAW mengenai pentingnya persaudaraan.
“Saya berharap sambutan ini dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menghayati sirah Nabi Muhammad SAW, memperkukuhkan perpaduan serta menyuburkan kecintaan kepada junjungan besar kita,” tambahnya.
Yusuf turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan sambutan berkenaan meskipun berdepan kekangan masa dan cabaran cuaca.
Perarakan kali ini disertai empat kategori utama iaitu Kategori A yang melibatkan Jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun, firma swasta, syarikat, institut kewangan (15 kontinjen); Kategori B melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah menengah, pusat kemahiran, institut pengajian tinggi (11 kontinjen); Kategori C pula melibatkan masjid, surau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) (9 kontinjen) serta Kategori D melibatkan persatuan, kelab dan pertubuhan (9 kontinjen).
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin. – UKAS