
LONDON: Peruncit fesyen gergasi, Shein melancarkan siasatan selepas satu foto di laman sesawangnya didapati memaparkan individu menyerupai suspek pembunuhan, Luigi Mangione yang memperagakan sehelai baju, lapor PA Media/dpa.
Foto berkenaan memaparkan seorang lelaki mirip Mangione, yang dituduh membunuh Ketua Pegawai Eksekutif UnitedHealthcare Brian Thompson di luar sebuah hotel di Manhattan tahun lalu, memakai kemeja putih bercorak berlengan pendek yang berharga kurang AS$10.
Foto itu kini telah dikeluarkan daripada laman sesawang berkenaan.
Jurucakap Shein berkata: “Imej yang dimaksudkan disediakan oleh vendor pihak ketiga dan segera dipadam sebaik sahaja dikesan.
“Kami mempunyai piawaian ketat untuk semua senarai produk di platform kami.
“Kami sedang menjalankan siasatan menyeluruh, memperkukuh proses pemantauan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap vendor berkenaan selaras dengan dasar kami.”
Difahamkan imej itu mungkin dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Mangione ditahan selepas pembunuhan Thompson pada 4 Disember dan didakwa atas tuduhan membunuh serta menghendap.
Suspek berusia 26 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan peringkat negeri dan persekutuan dan kini ditahan di penjara persekutuan Brooklyn.
Kes itu mencetuskan kontroversi, dengan pihak pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) berkata Mangione memberi inspirasi kepada orang lain untuk memilih keganasan berbanding perdebatan rasional.
Mangione juga didakwa meninggalkan bukti yang menunjukkan kebenciannya terhadap industri insurans, sementara kes berprofil tinggi itu menyebabkan dia meraih pengikut di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan terhadap syarikat insurans kesihatan swasta di AS.- Bernama-PA Media/dpa