ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Geran Khas berjumlah RM1,500 daripada Kerajaan Sarawak kepada penjual, peniaga kecil-kecilan serta penjaja gerai makanan akan dibayar melalui dua fasa.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, bantuan khas Sarawakku Sayang (BKSS) ini adalah inisiatif untuk membantu dan meringankan kesulitan peniaga kecil dan penjaja termasuk gerai makanan di seluruh Sarawak dalam masa sukar ini berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Geran Khas RM1,500.00 ini akan dibayar melalui SarawakPay dalam dua fasa iaitu RM750 akan dibayar pada April atau Mei 2020 untuk fasa pertama.
“Bayaran fasa kedua bagi RM750 lagi akan dibayar pada Jun atau Julai 2020.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai Akaun SarawakPay dengan alasan yang boleh diterima akan dibayar secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional yang terdekat menjelang Mei nanti untuk fasa pertama dan Julai 2020 untuk fasa kedua,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau menambah penjaja gerai makanan di dalam kedai kopi layak didaftarkan tetapi dengan dokumentasi yang diperlukan untuk berdagang secara peribadi.
“Bantuan ini juga diberikan kepada peniaga kecil, penjaja dan penjaja gerai makanan yang tidak mempunyai lesen atau permit.
“Untuk memenuhi syarat BKSS ini, mereka harus mendaftar dan mendapatkan permit daripada pihak majlis tempatan masing-masing dengan membuat permohonan secara dalam talian atau di kaunter.
“Tarikh akhir permohonan adalah pada 31 Mei 2020. Permit ini akan sah sehingga 30 September 2020,” jelasnya.
Beliau menambah pembayaran BKSS di bawah kategori ini akan dibuat pada Jun atau Julai 2020 melalui akaun SarawakPay atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional.
Antara kriteria yang perlu ada pada peniaga kecil, penjaja atau penjaja gerai makanan yang tidak berlesen untuk mendapatkan BKSS, adalah peniaga haruslah orang Sarawak yang menetap dan berdagang di Sarawak dan bermur mestilah 18 tahun ke atas.
Pedagang mestilah pedagang tulen yang pernah berniaga secara fizikal secara peribadi seperti mengendalikan gerai, kiosk, gerai tepi jalan dan lain-lain sebelum 1 April 2020.
Gerai di dalam kedai kopi layak mendaftar tetapi dengan dokumentasi yang diperlukan bagi berniaga secara peribadi.
Perniagaan atas talian adalah tidak termasuk untuk mendapatkan BKSS.
Pedagang mesti berdaftar dengan Majlis Tempatan dan mendapatkan permit yang dikeluarkan oleh Majlis.
Semua maklumat yang diberikan oleh peniaga mestilah tepat, benar dan fakta. Sekiranya ada maklumat palsu atau tidak tepat yang diberikan,permohonan itu tidak akan dipertimbangkan.Sekiranya permit telah dikeluarkan, majlis berhak untuk membatalkan permit tersebut.
Kuasa dan budi bicara untuk menentukan ketulenan dan kelayakan peniaga diberi kebenaran dan insentif adalah hak majlis tempatan.
Keputusan yang dibuat oleh majlis adalah muktamad dan tidak rayuan dibenarkan.