SERIAN: Seramai 182 penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu menerima bantuan input projek ternakan dan pertanian, semalam.
Majlis penyerahan bantuan tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Tayung Langui Kampung Pichin.
“Nilai peruntukan yang diluluskan untuk setiap projek ternakan dan pertanian di kawasan ini (DUN Tebedu) adalah sebanyak RM1,381,265.
“Sebanyak RM790,000 diluluskan untuk projek ternakan dan RM591,265 untuk projek pertanian,” ujar Uggah ketika berucap di sini, semalam.
Tambahnya, peruntukan ini adalah dari Kerajaan Sarawak untuk membantu petani dan penternak di luar bandar.
“Selain membantu petani dan penternak di luar bandar, kerajaan Sarawak melalui Sarawak Economic Action Council (SEAC) sekarang sedang merangka program dan projek untuk mencapai sasaran Sarawak menjadi pengeksport makanan menjelang 2030,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, teknologi moden dalam pertanian dan penternakan penting dalam usaha meningkatkan produktiviti serta pendapatan rakyat.
“Bagi membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka, kerajaan juga menyediakan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di mana produk dikumpul, diproses, dibungkus dan dijual,” ujarnya.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dato Sri Michael Manyin Jawong serta Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Oleh Nur Ain Otsman