
PETRA JAYA: Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, H.E. Ajay Sharma CMG di Astana Negeri, pagi tadi.
Kunjungan hormat oleh H.E. Ajay Sharma diadakan bagi memperkenalkan diri sebagai Pesuruhjaya Tinggi British yang baharu ke Malaysia serta memperkukuhkan hubungan antarabangsa antara United Kingdom dan Sarawak.
Dalam pertemuan itu, Tun Wan Junaidi dan H.E. Ajay Sharma bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman mengenai pelbagai isu semasa yang berkaitan dengan kepentingan bersama.
Perbincangan turut menekankan kepada usaha meningkatkan lagi kolaborasi, jalinan kerjasama serta perkongsian strategik antara Sarawak dan kerajaan British dalam bidang pendidikan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selain itu, kerjasama turut meliputi aspek ekonomi baharu, pembangunan infrastruktur, kebudayaan, pelancongan, pelaburan, teknologi serta pembangunan belia termasuk di kawasan luar bandar Sarawak.
Turut dibincangkan adalah berkenaan pengajaran Bahasa Inggeris di Sarawak oleh guru daripada United Kingdom dan potensi kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkann penghargaan atas kunjungan tersebut serta berharap hubungan baik yang telah lama terjalin antara Sarawak dan British akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Turut hadir Kaunselor Politik dan Ekonomi Rebecca Carter, Penasihat Dasar Luar Rhys Jackson serta Pegawai Perhubungan Kerajaan dan Protokol Iman Hamdan.