Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 16 September lambang penyatuan sebenar rakyat Malaysia – Wong Soon Koh
  • Tengah
  • WILAYAH

16 September lambang penyatuan sebenar rakyat Malaysia – Wong Soon Koh

Utusan Sarawak 5 days ago
UNTUK ALBUM… Wong (berdiri tengah) merakamkan kenangan bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Memancing Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kawasan Dudong di Sibu pada Ahad.

SIBU: Tanggal 16 September disifatkan sebagai tarikh yang benar-benar menyatukan seluruh rakyat Malaysia sebagai satu bangsa dan satu negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos merupakan detik penting dalam sejarah Persekutuan Tanah Melayu, manakala 16 September adalah saat bersejarah yang menyatukan Malaya, Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia.

“31 Ogos adalah hari bersejarah untuk Semenanjung, dan kita di Sarawak turut meraikannya sebagai tanda kebersamaan. 

“Namun, 16 September adalah tarikh yang benar-benar menyatukan kita semua sebagai sebuah negara,” ujarnya ketika berucap selaku tetamu jemputan khas pada Pertandingan Memancing Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kawasan Dudong di Pekan Durin pada Ahad.

Pertandingan itu dirasmikan oleh Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong Datuk Teo Boon Siew selaku mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing.

Beliau menegaskan bahawa pemahaman yang betul terhadap kedua-dua tarikh tersebut dapat memupuk semangat perpaduan dan penghargaan terhadap perjalanan pembinaan negara Malaysia.

Pada majlis santai yang dihadiri penduduk tempatan dari pelbagai lapisan masyarakat itu, Wong turut memuji usaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menganjurkan acara tersebut sebagai pendekatan mesra rakyat dalam menyemarakkan semangat kebangsaan.

“Bagus sekali kita raikan bulan kebangsaan bersama, bukan sahaja dengan bendera dan perarakan, tetapi juga dengan aktiviti yang dekat di hati rakyat iaitu memancing,” katanya sambil menyifatkan semua peserta sebagai pemenang kerana menzahirkan semangat perpaduan.

Wong turut menggesa agar semua lapisan rakyat terus menghargai sejarah pembentukan negara dan mengekalkan semangat bersatu-padu demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Pertandingan memancing itu merupakan sebahagian daripada sambutan Bulan Kebangsaan peringkat kawasan Dudong dan dilihat sebagai platform merapatkan hubungan antara komuniti setempat dalam suasana harmoni dan penuh semangat patriotik.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Suasana sayu tiga beradik warga emas di rumah usang di Sarikei
Next: Generasi muda perlu diperkasa dengan kemahiran digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.