
Joe Bugner pernah bertarung dengan Muhammad Ali pada 1975 di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.
LONDON: Joe Bugner, peninju heavyweight Britain yang pernah menentang Muhammad Ali dan Joe Frazier sehingga ke pusingan akhir, meninggal dunia pada usia 75 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bugner yang dilahirkan di Hungary kurang mendapat sokongan di United Kingdom selepas menewaskan jaguh negara itu Henry Cooper menerusi keputusan mata yang diperdebatkan pada 1971 untuk muncul sebagai juara British, Komanwel dan Eropah.
Beliau tewas dua kali degan kiraan mata kepada Ali, termasuk ketika mencabar kejuaraan heavyweight dunia dan sekali kepada Frazier.
Bugner turut tewas kepada Rob Lyle, Earnie Shavers dan Frank Bruno.
Kerjaya beliau selama 32 tahun itu berakhir pada 1999.
Pada ketika itu, beliau telah berpindah ke Australia dan menghabiskan tahun-tahun terakhir hidupnya di sebuah rumah jagaan di Brisbane selepas disahkan menghidap demensia.

Lembaga Kawalan Tinju British dalam kenyataan berkata: “Dengan dukacita kami memaklumkan bekas juara heavyweight British, Eropah dan Komanwel serta pencabar Kejuaraan Dunia, Joe Bugner, telah meninggal dunia di rumah jagaan di Brisbane, Australia.
“Lembaga Kawalan Tinju British mengucapkan takziah kepada keluarga Joe.”
Bugner, yang merupakan seorang pelarian kanak-kanak ketika berpindah ke Britain selepas keluarganya melarikan diri dari Hungary susulan pencerobohan Kesatuan Soviet pada 1956, memenangi 69 daripada 83 pertarungan – 41 daripadanya melalui tumbukan tewas jatuh – dengan 13 kekalahan dan satu seri.
Selain menewaskan Cooper dengan kelebihan suku mata menerusi markah pengadil Harry Gibbs ketika sistem penjurian masih menggunakan pecahan, Bugner juga memegang gelaran juara British sebanyak dua kali dan menjadi juara Eropah tiga kali.
Beliau bersara selepas tewas kepada Bruno pada 1987 tetapi kembali semula lapan tahun kemudian kerana masalah kewangan.
Pada usia 48 tahun, beliau berjaya merangkul gelaran juara Australia serta tali pinggang WBF yang kurang berprestij.
Bugner dikenali dengan panggilan mesra “Aussie Joe” pada tahun-tahun terakhir kariernya selepas mendapat sambutan hangat di Australia, sesuatu yang tidak pernah dialaminya ketika beraksi di Britain.
Selepas bersara, Bugner terlibat dalam industri perfileman dan pernah muncul dalam rancangan televisyen popular “I’m A Celebrity…Get Me Out Of Here!” pada 2009.
Promoter Frank Warren menulis di platform X: “Berita sedih tentang pemergian Joe Bugner, bekas juara British, Eropah dan Komanwel, serta lelaki yang pernah menentang Muhammad Ali dan Joe Frazier sehingga tamat pusingan.
“Beliau juga terlibat dalam pertarungan pertama yang saya kendalikan di ITV – seorang insan hebat yang akan dirindui. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya. Semoga beliau bersemadi dengan tenang.”
— BERNAMA-dpa