PEMAIN nombor dua dunia Simona Halep menyertai senarai pemain bintang tenis yang semakin meningkat ketika dia mengumumkan tidak akan menyertai Terbuka AS kerana kebimbangan dengan wabak Covid-19.
“Setelah mempertimbangkan semua faktor yang terlibat dan dengan keadaan luar biasa di mana kita hidup, saya memutuskan bahawa saya tidak akan pergi ke New York untuk bermain @usopen,” tweet Halep, penyandang juara Wimbledon ketika ini.
“Saya selalu berkata bahawa saya akan meletakkan kesihatan saya di tengah-tengah keputusan saya dan oleh itu saya lebih suka tinggal dan berlatih di Eropah.”
Pemain dari Romania ini menambah: “Saya tahu @usta dan @WTA telah bekerja tanpa mengenal erti penat lelah mengadakan acara yang selamat dan saya berharap semua orang di sana berjaya dalam kejohanan ini.”
Halep menyertai sejumlah pemain teratas yang menarik diri daripada bermain di Flushing Meadows apabila kejohanan Grand Slam seterusnya bermula pada 1 September.
Penyandang gelaran Terbuka AS, Bianca Andreescu dari Kanada tidak akan bermain, menyertai pemenang lelaki 2019 Rafael Nadal untuk tidak menyertai kejohanan tahun ini.
Antara mereka yang telah menarik diri daripada menyertai Terbuka AS tahun ini ialah Ashleigh Barty (Australia), Elina Svitolina (Ukraine) yang berada di ranking kelima, pemain nombor tujuh dunia Kiki Bertens, Belinda Bencic (Switzerland) ranking kelapan – yang dikalahkan oleh Andreescu di separuh akhir tahun lalu – dan bekas juara Svetlana Kuznetsova dari Rusia, kini berada di kedudukan ke-32 di dunia.
Serena Williams, yang mencari gelaran Grand Slam ke-24 sepanjang karier beliau untuk menyamai rekod sepanjang masa Margaret Court, akan bertanding, begitu juga dengan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.
Satu-satunya pemain daripada 10 pemain teratas WTA yang kekal dalam kejohanan itu adalah pemain nombor tiga dunia Karolina Pliskova, juara Terbuka Australia, Sofia Kenin, yang menduduki tempat keempat dunia, dan Naomi Osaka, yang berada di tempat ke-10.
Itu meninggalkan Williams yang berusia 38 tahun dengan peluang keemasan untuk menyamai rekod Slam, Court, yang menjadi perhatian sejak dia memenangi kejohanan besar terakhirnya – Terbuka Australia 2017. – AFP