MANILA: Sekurang-kurangnya seorang maut dalam gempa berkekuatan 6.6 pada skala Richter yang menggegarkan wilayah Masbate di Filipina pada Selasa pagi, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis tempatan.
Dalam buletin yang dikemas kini, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) menyatakan, gempa itu berlaku pada 8.03 pagi waktu tempatan, pada kedalaman 21 km, kira-kira tujuh km tenggara bandar Cataingan di wilayah Masbate.
Kolonel Polis Joriz Cantoria daripada polis wilayah Masbate menyatakan dalam laporan awal bahawa seorang pesara polis mati setelah ditimpa tembok yang runtuh di rumahnya.
Cantoria berkata gegaran turut merosakkan beberapa rumah, jalan dan bangunan, termasuk pelabuhan bandar tepi pantai dan pasar awam.
“Masbate sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat,” tambah Cantoria.
Phivolcs menyemak semula magnitud gempa Masbate kepada 6.6 daripada skala sebelumnya 6.5 pada pagi Selasa.
Institut itu menyatakan puluhan gempa susulan turut dicatatkan.
Filipina sering mengalami aktiviti sesmik kerana lokasinya di sepanjang “Lingkaran Api” Pasifik.-Bernama