KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) akan terus melakukan ujian saringan secara rawak dari masa ke semasa terhadap sesuatu kumpulan yang dianggap sensitif terhadap wabak Covid-19 di dalam komuniti.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat semalam sebanyak 22 fasiliti kesihatan yang dikenal pasti di seluruh Sarawak telah diambil sebanyak 1,884 sampel bagi ujian Covid-19 untuk kes Influenze-Like Illness (ILI), bermula April lalu.
“Daripada jumlah tersebut satu sampel positif telah dikesan di Sibu (0.05 peratus) pada April 2020.
“Manakala 1,875 sampel adalah negatif dan lapan sampel masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini, semalam.
Menurutnya, sebanyak lima klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Kuching telah dikenal pasti untuk menjalankan Surveilance Respiratory Symptoms
bermula pada 20 Julai lalu dengan 316 sampel telah diambil untuk
ujian Covid-19 (RT-PCR) dan kesemua keputusan adalah negatif.
“Manakala bagi saringan di pasar awam di seluruh Sarawak, JKNS telah menjalankan saringan di 14 pasar awam dan sebanyak 2,399 sampel telah diambil dengan 2,388 adalah negatif.
“Daripada jumlah itu, 11 adalah positif iaitu tujuh di Pasar Stutong dan empat di Medan Niaga Satok yang mana kedua-dua di Kuching,” jelasnya.
Tambahnya, JKNS turut melakukan ujian saringan secara rawak di 152 buah tapak pembinaan iaitu dengan 11 di Bahagian Kota Samarahan, Serian (5 tapak), Sri Aman (4 tapak), Betong (7 tapak), Sarikei (4 tapak), Sibu (4 tapak), Kapit (4 tapak), Mukah (16 tapak), Bintulu (33 tapak), Miri (59 tapak) dan Limbang (5 tapak).
“Sebanyak 1,439 sampel bagi ujian Covid-19 (RT-PCR) telah diambil dan daripada jumlah sampel tersebut 1, 029 sampel
dari warganegara Malaysia dan 410 sampel dari Pendatang Asing Dengan Izin.
“Hasil saringan mendapati hanya satu sampel yang positif dari tapak pembinaan di Bahagian Samarahan, manakala 1,438 sampel adalah negatif,” ujarnya.
Mengulas mengenai saringan di 44 ladang yang mana tujuh terletak di, Sri Aman (10 ladang), Mukah (8 ladang), Betong (10
ladang) dan Bintulu (9 ladang), Uggah berkata, sebanyak 604 sampel telah diambil.
” 277 sampel adalah dari warganegara Malaysia dan 327 sampel dari Pendatang Asing Dengan Izin.
“Daripada jumlah itu, 569 sampel adalah negatif Covid-19, manakala 35 sampel lagi masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.
Mengenai saringan keatas nelayan, Uggah menjelaskan sebanyak 175 orang nelayan dari Bahagian Sibu dan Betong telah
disaring dan kesemua keputusan ujian saringan tersebut adalah negatif.
Sementara itu katanya sebanyak 114 guru dan kakitangan di 17 taska Sarawak telah menjalani saringan Covid-19 dengan kesemua keputusan adalah negatif.
Oleh Zarina Abdullah