MOGADISHU: Sepuluh orang awam dan seorang pegawai polis terbunuh dalam serangan senjata dan bom oleh pejuang Al-Shabaab di sebuah hotel mewah tepi pantai di ibu negara Somalia pada Ahad, seorang pegawai memberitahu AFP.
Pasukan keselamatan mengambil masa empat jam bagi mengawal semula Hotel Elite di kawasan pantai Lido di Mogadishu selepas lima penyerang menyerbu hotel itu awal pagi Ahad, kata jurucakap kementerian maklumat, Ismael Mukhtaar Omar.
“Sepuluh maut dan lima anggota militan juga terbunuh, serta seorang pegawai polis khas Somalia,” kata Omar kepada AFP.
Tidak begitu jelas bagaimana pihak berkuasa Somalia dapat menamatkan kepungan di hotel itu dan membunuh penyerang, yang mana pada satu ketika dikatakan menahan tebusan.
Pada Ahad, ketika kepungan masih dilakukan, sumber keselamatan yang tidak mahu dinamakan memberitahu AFP, seorang penyerang terbunuh dalam letupan bom kereta yang menyebabkan serangan itu, manakala dua lagi terbunuh ketika insiden tembak menembak.
Pekerja ambulans di lokasi kejadian melaporkan, sekurang-kurangnya 28 cedera dalam kejadian itu.
Saksi memberitahu, serangan bermula dengan letupan kuat dan orang ramai melarikan diri dari lokasi kejadian selepas bunyi tembakan dapat didengari dari hotel yang sering dikunjungi pegawai kerajaan.
“Letupan itu sangat kuat dan saya dapat melihat asap di kawasan itu. Huru-hara berlaku dan orang ramai melarikan diri dari bangunan berdekatan,” kata saksi, Ali Sayid Adan.
Mereka yang maut termasuk pegawai kerajaan, Abdirasak Abdi, yang bekerja dengan Kementerian Maklumat, kata rakan sekerjanya, Hussein Ali.
Al-Shabaab mengaku melakukan serangan itu, menurut satu laporan yang diterjemah Kumpulan Perisikan SITE.
Kenyataan itu mendakwa pejuang Al-Shabaab mengambil alih hotel dalam operasi untuk mati ‘syahid’. – AFP