
LOS ANGELES: Rapper Lil Nas X didakwa semalam dengan empat pertuduhan jenayah berat selepas didakwa menyerang polis yang datang untuk menahannya semasa berjalan bogel di Los Angeles minggu lalu.
Artis lagu Old Town Road itu ditangkap selepas menanggalkan pakaian di sebuah jalan utama di bandar tersebut.
Video yang tersebar minggu lalu pada mulanya menunjukkan penyanyi itu memakai but koboi dan seluar dalam putih yang menutupi aurat ketika dia berjalan di kawasan Studio City.
Namun, rakaman baharu yang diperoleh oleh media hiburan TMZ menunjukkan penyanyi tersebutyang nama sebenarnya Montero Hill dalam keadaan telanjang sepenuhnya.

Ini selaras dengan kenyataan polis kepada AFP minggu lalu, apabila seorang jurucakap berkata, “Terdapat seorang lelaki bogel berjalan di jalan raya.”
“Setibanya di tempat kejadian, suspek menyerang pegawai polis. Dia ditahan dan dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan kemungkinan overdosis sebelum ditangkap atas tuduhan menyerang pegawai polis.”
Hill hadir di mahkamah semalam untuk mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan jenayah berat menyerang pegawai polis dan satu pertuduhan menghalang penangkapan.
Ikat jaminannya ditetapkan pada AS$75,000 dan dia diarahkan untuk hadir ke mahkamah pada 15 September.

Rakaman minggu lalu mencetuskan kehebohan di internet apabila pengguna web berduyun-duyun menonton persembahan flamboyan penyanyi itu yang beraksi di hadapan kamera.
“Jangan lambat ke parti malam ini,” katanya kepada seorang pejalan kaki. Tidak jelas parti mana yang dimaksudkan atau bila “malam ini” dalam rakaman yang dirakam sebaik sebelum subuh.
Pada satu ketika, dia meminta orang yang merakam yang dilihat duduk dalam kereta menyerahkan telefon supaya dia boleh membuangnya.
“Saya mahu buang jauh-jauh supaya kamu tidak akan pernah nampak lagi. Saya tidak suka telefon.”
“Bukankah saya sudah suruh kamu letakkan telefon? Uh-oh, seseorang kena bayar untuk itu,” katanya sambil menggerakkan jarinya secara berdrama. – AFP