MIRI: Golongan ibu tunggal diminta memanfaatkan peluang dan menguasai pelbagai kemahiran serta ilmu pengetahuan, bagi menjana pendapatan keluarga.
Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, dengan memiliki kemahiran itu mereka boleh berdikari tanpa perlu mengharapkan bantuan.
“Ilmu kemahiran yang diperoleh itu seterusnya digunakan pula untuk menjana pendapatan bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Kepada Peserta Kursus Memasak anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni Miri di Kolej Komuniti di sini, semalam.
Seramai 17 ibu tunggal menyertai kursus sehari itu dan para peserta diajar cara membuat pizza mini, kuih chang, kuih bulan dan tart telur.
Lee turut memuji kelab tersebut atas inisiatif menganjurkan latihan yang sangat berguna kepada semua peserta.
Katanya, kursus seumpama itu membantu meningkatkan kemahiran peserta dalam bidang berkenaan.
“Kita berharap peserta kursus ini akan menggunakan sepenuhnya pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh.
“Anda boleh gunakan kemahiran yang ada misalnya membuat kuih dan jual secara talian untuk tambah pendapatan,” katanya.