
NIAH: Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Mentali, Saeh telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Majlis Pelancaran Program Anti Buli peringkat sekolah sebagai usaha membanteras budaya buli, baru-baru ini.
Menurut kenyataan pihak SK Rumah Mentali, program tersebut merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan negatif buli serta mendidik murid agar saling menghormati antara satu sama lain.
Antara objektif utama program ini ialah meningkatkan kesedaran tentang kesan buruk amalan buli, mendidik murid agar saling menghormati, serta membentuk persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan mesra.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah, Lans Koperal Abdillah Ilias, yang dijemput khas sebagai penceramah.
Beliau menekankan bahaya buli dalam kalangan murid, selain berkongsi cara-cara melaporkan kes buli dengan selamat serta kepentingan nilai kasih sayang dalam komuniti sekolah.
Sehubungan dengan program tersebut, turut diadakan aktiviti Mewarna Sempena Kempen Anti Buli yang melibatkan penyertaan aktif murid-murid dari pelbagai peringkat.

Aktiviti ini bertujuan menyampaikan mesej anti buli melalui ekspresi seni yang kreatif dan bermakna.
Usaha seperti ini diharapkan dapat memupuk budaya sekolah yang bebas daripada sebarang bentuk buli, sekali gus melahirkan generasi pelajar yang berakhlak mulia, saling menghormati, dan hidup dalam suasana yang harmoni.
Oleh Adum Liu