

BERJAYA DIKELUARKAN… Pukat hantu berjaya dikeluarkan dari kawasan terumbu karang di Batu Belais dalam Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti, semalam.
MIRI: Sebanyak 29 kilogram pukat hantu berjaya dikeluarkan dari kawasan terumbu karang di Batu Belais, dalam Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti, semalam.
Pukat hantu tersebut berjaya dikeluarkan menerusi Operasi Pembersihan Dasar Laut anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) kali keenam, sempena sambutan ulang tahun ke-50 persatuan itu.
Ini merupakan operasi pertama daripada dua misi pembersihan dasar laut yang dijadualkan di bawah inisiatif Pemuliharaan NSJA 2025, yang menyasarkan penyingkiran sekurang-kurangnya 100 kilogram pukat hantu dari dua lokasi kritikal, Batu Belais dan Kenyalang Wreck.
Penyelaras program, Choa Yee Hui, berkata operasi tersebut dijalankan dalam keadaan laut yang mencabar namun tetap berjaya mencapai hasil yang signifikan.
“Operasi pembersihan dasar laut di Batu Belais pagi ini berjaya dilaksanakan walaupun berdepan arus yang deras.
“Pasukan penyelam kami turun sehingga kedalaman 14 meter dan berada selama 21 minit di bawah air, menumpukan kepada penyingkiran pukat terbiar yang mengancam hidupan marin serta ekosistem terumbu karang,” katanya.
Walaupun pelan awal merangkumi dua kali selaman, Choa berkata arus permukaan yang terlalu deras telah menjejaskan keselamatan untuk selaman kedua.
Demi memastikan keselamatan penyelam diutamakan, pasukan berkenaan menamatkan misi selepas selaman pertama, yang berjaya mengeluarkan sebanyak 29 kilogram pukat hantu.
Oleh Liong Chai Ling