
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk (kiri) dan Rio Ngumoha selepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle di St James’ Park, Newcastle.
NEWCASTLE: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berkata, kerja keras sebenar baru sahaja bermula untuk pemain berusia 16 tahun, Rio Ngumoha selepas jaringannya pada masa kecederaan menyelamatkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan kemenangan 3-2 ke atas Newcastle.
Ngumoha muncul penjaring termuda dalam sejarah kelab pada penampilan sulungnya selepas masuk sebagai pemain gantian dan meledak gol minit ke-100 dalam suasana gamat di St. James’ Park, awal pagi tadi.

Liverpool mendahului 2-0 menentang 10 pemain hasil jaringan Ryan Gravenberch dan Hugo Ekitike dengan Anthony Gordon dilayangkan kad merah.
Namun Newcastle yang masih ‘panas’ berhubung usaha Liverpool mendapatkan penyerang utama mereka, Alexander Isak, yang tidak diturunkan kerana mahu meninggalkan kelab, bangkit melalui jaringan Bruno Guimaraes dan William Osula.
Bagaimanapun, Ngumoha yang cemerlang dalam aksi pramusim, menyempurnakan gerakan cantik Liverpool pada masa kecederaan untuk memastikan tiga mata sekali gus merekodkan dua kemenangan daripada dua perlawanan pembukaan misi mempertahankan kejuaraan.
“Ia satu penampilan sulung yang menjadi impian. Saya sangat gembira untuk Rio. Saya sudah beritahu dia, segalanya bermula sekarang.
“Dia perlu terus bekerja keras, kekal merendah diri, tetapi pada masa sama menikmati detik ini kerana malam sebegini bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Dengan pemain yang kami ada, saya pasti dia akan kembali berlatih lebih keras,” kata Van Dijk.
Van Dijk turut mengakui ketegangan antara kedua-dua kelab mengenai masa depan Isak menambah ‘minyak ke dalam api’ terhadap suasana panas di St James’ Park.
“Apa yang berlaku malam ini (awal pagi tadi) sudah dijangka, dan bagi kami perkara yang mengecewakan ialah kerana melepaskan dua gol hasil situasi bola mati. Itu tidak sepatutnya berlaku tetapi secara keseluruhan, kami tetap peroleh tiga mata,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Newcastle sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan awal musim ini dan terus bergelut di bahagian serangan melainkan Isak dapat dipujuk kembali menyertai skuad Eddie Howe sebelum jendela perpindahan ditutup minggu depan. – AFP