
SIBU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan bahawa Jalan Kong Yit Khim (Q596) di antara KM3+800 hingga KM18+400, Bahagian Sibu akan ditutup separuh laluan bermula hari ini hingga 24 November 2025.
Menurut kenyataan JKR, penutupan sementara itu adalah bagi memberi laluan kepada kerja baik pulih kerosakan jalan banjir yang telah dikenal pasti di beberapa kawasan sepanjang laluan berkenaan.
“Kerja-kerja baik pulih yang akan dilaksanakan adalah berbentuk topping up works iaitu menambah baik permukaan jalan yang rosak akibat banjir dan mendapan, bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya,” jelas kenyataan itu.
Sepanjang tempoh kerja dijalankan, penutupan separuh laluan berkuat kuasa dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari. Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan serta mematuhi arahan papan tanda keselamatan yang disediakan.
JKR menambah, kerja baik pulih ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan jaringan jalan raya di kawasan pedalaman dan bandar Sibu sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Sementara itu, sebarang pertanyaan lanjut mengenai penutupan jalan boleh diajukan kepada Pejabat JKR Bahagian Sibu di talian 084-314040 pada waktu pejabat atau terus menghubungi wakil kontraktor pelaksana, SEDC Sdn. Bhd., iaitu Mr. Vincent di talian 014-9921968.
JKR turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika melalui laluan tersebut kerana kawasan berkenaan merupakan tapak pembinaan yang berisiko jika tidak dipatuhi arahan keselamatan.