
Isak (kiri) terus menjadi buruan Liverpool yang dilapor sedia memenuhi tuntutan Newcastle. Foto AFP
MANCHESTER, United Kingdom: Liverpool dijangka menerima layanan ‘kurang mesra’ apabila bertandang ke Newcastle pada awal pagi Selasa depan susulan kedegilan untuk mendapatkan penyerang Magpies, Alexander Isak yang tekad mahu berpindah dari St James’ Park.
Pada masa sama, Manchester City dan Tottenham akan berdepan ujian awal terhadap cita-cita musim ini apabila kedua-dua pasukan bertemu di Etihad.
Di seberang Merseyside, era baharu bermula untuk Everton pada Ahad apabila mereka menyambut kehadiran Brighton dalam perlawanan kompetitif pertama di stadium baharu yang berkapasiti 53,000 tempat duduk.
AFP Sport melihat beberapa isu utama menjelang hujung minggu kedua musim Liga Perdana Inggeris (EPL).
Isak dijangka tidak akan diturunkan dalam pertemuan antara majikannya sekarang dan kelab yang ingin disertainya susulan ketegangan mengenai masa depan penyerang Sweden itu berterusan hingga minggu terakhir jendela perpindahan.
Newcastle menegaskan pemain berusia 25 tahun itu tidak akan dilepaskan melainkan mereka menemui pengganti yang setara, dan Liverpool bersetuju dengan harga dikatakan mencecah rekod perpindahan Britain iaitu £150 juta (RM852 juta).
Liverpool sebelum ini membuat tawaran bernilai £110 juta (RM624 juta) yang ditolak, meskipun mereka sudah berbelanja £300 juta (RM1.704 bilion) untuk mendapatkan pemain baharu tetapi urusan mereka masih belum selesai.
Isak akhirnya bersuara kelmarin dengan menyatakan hubungannya dengan Newcastle ‘tidak boleh diteruskan’ selepas hilang kepercayaan terhadap kelab.
Namun, prestasi awal cemerlang Hugo Ekitike sedikit sebanyak mengurangkan keperluan Liverpool selaku juara bertahan EPL untuk memenuhi tuntutan Newcastle.
Penyerang muda Perancis itu, yang menolak tawaran Newcastle demi menyertai Liverpool menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam penampilan sulung EPL ketika menang 4-2 menentang Bournemouth.
Masalah utama pasukan baharu kendalian Arne Slot adalah dalam menghadapi serangan balas, namun Liverpool dijangka lebih kukuh dengan kembalinya pemain tengah Ryan Gravenberch daripada penggantungan di St James’ Park.
Kelemahan Newcastle tanpa Isak jelas kelihatan apabila mereka gagal menembusi pertahanan Aston Villa yang hanya bermain dengan 10 orang dalam keputusan seri tanpa jaringan minggu lalu.
Pengurus Eddie Howe juga menghadapi minggu mengecewakan dalam pasaran perpindahan selepas usahanya mendapatkan penyerang Brentford, Yoane Wissa, tergendala.
Sementara itu, kemenangan 4-0 Manchester City ke atas Wolves pada minggu pembukaan memberi isyarat awal kebangkitan mereka selepas musim lalu yang mengecewakan.
Namun, kunjungan Tottenham merupakan peringatan pahit buat City, yang dibelasah 0-4 oleh Spurs di Etihad pada November lalu ketika mereka hanya menang sekali dalam 13 perlawanan.
Pengurus Pep Guardiola berkata skuadnya kini mendapat ‘tenaga baharu’ hasil kehadiran pemain baharu seperti Tijjani Reijnders, Rayan Cherki dan Rayan Ait-Nouri, yang memberikan impak segera di Molineux.
Namun, ujian sebenar menanti apabila berdepan pasukan yang sering menjadi penghalang mereka sejak kebelakangan ini.
Tottenham hanya kalah sekali dalam empat kunjungan terakhir mereka ke Etihad dalam aksi liga, malah berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dalam setiap perlawanan.
Pengurus baharu Spurs, Thomas Frank, menunjukkan kebolehannya menyesuaikan taktikal apabila hampir mengejutkan juara Eropah Paris Saint-Germain dalam aksi Piala Super UEFA sebelum tewas di saat akhir.
Kempen EPL Tottenham juga bermula dengan baik apabila mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Burnley. – AFP