
SIBU: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi membina laluan dan pembentung menuju ke tanah perkuburan bakal memberikan manfaat kepada penduduk Selangau.
Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Dayak Penduduk Kawasan Selangau merakam penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang atas keprihatinan beliau meluluskan peruntukan projek berkenaan demi kesejahteraan penduduk.
Menurut pengerusi jawatankuasa, Tuai Rumah Dali Merawing, pelaksanaan projek tersebut memberi kelegaan besar kepada masyarakat kerana sebelum ini mereka sering berdepan kesukaran khususnya pada musim hujan apabila laluan ke tanah perkuburan sukar dilalui.
Katanya, pembinaan laluan ini amat bermakna kerana ia memudahkan urusan masyarakat untuk mengiringi dan menguruskan pengebumian.
“Kami amat menghargai perhatian serta sokongan Christopher Gira Sambang terhadap keperluan rakyat pedalaman Selangau,” katanya.
Sementara itu, Gira memberitahu bahawa projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.
“Saya berharap kesukaran rakyat dalam menguruskan pengebumian akan berkurangan selepas adanya jalan ini,” kata beliau.
Projek RTP 2025 ini dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk kawasan Selangau, malah juga kampung-kampung sekitar, sekali gus meningkatkan infrastruktur asas serta mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat dalam memperjuangkan kepentingan komuniti luar bandar di kawasan Tamin.
Oleh Akun Giman