
LAWAS: Hubungan erat dan saling percaya antara pihak berkuasa, khususnya penguatkuasa dan masyarakat tempatan memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan Daerah Lawas terpelihara dengan baik.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lawas terus menjalankan tugas dengan komitmen tinggi dan sentiasa berkomunikasi secara terbuka dengan rakyat, menjadikan mereka sebagai agensi barisan hadapan yang dipercayai masyarakat.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, menyifatkan sikap terbuka serta keprihatinan kepimpinan polis di daerah ini memudahkan perkongsian maklumat serta kerjasama erat antara pihak berkuasa dan komuniti.
“Kami bangga melihat polis Lawas sentiasa menjadi pelopor dalam aktiviti sihat yang melibatkan penjawat awam, sekali gus memastikan Lawas kekal selamat dan menjadi destinasi yang mesra dikunjungi,” katanya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Badminton Piala KPD Lawas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas, semalam.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa isu dadah kekal menjadi cabaran utama bukan sahaja di Lawas, tetapi di seluruh negara, dan menuntut tindakan bersama antara pihak berkuasa dan masyarakat untuk menanganinya dengan lebih serius.
Selain itu, Henry Sum menggesa penjawat awam di Lawas supaya sentiasa peka dan menguasai kemahiran teknologi maklumat dalam era digital masa kini. Namun begitu, beliau turut mengakui bahawa Daerah Lawas masih menghadapi banyak kelemahan terutama dalam perkhidmatan telekomunikasi yang menjadi rungutan utama rakyat di kawasan itu.
“Harapan kami, agensi berkaitan dapat mengambil langkah serius bagi menyelesaikan isu telekomunikasi yang berpanjangan di Lawas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lawas turut mengumumkan pemberian geran kerajaan berjumlah RM15,000 kepada Kelab PDRM Lawas sebagai sokongan kepada mereka dalam melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan untuk manfaat penduduk setempat.
Oleh Adeng Edrus