
MIRI: Sebanyak 18 motosikal disita dan 101 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi malam tadi.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang bermula dari 6.00 petang sehingga 9.30 malam itu dijalankan di beberapa lokasi tumpuan seperti Jalan Banda Raya Miri, Jalan Marina, Jalan Miri-Bypass, Jalan Tanjung Lobang dan Jalan Tudan di sini.

“Dalam operasi sama, sebanyak 101 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Sebanyak 35 kenderaan diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu, 18 motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana diubah suai daripada struktur asal serta bagi pemeriksaan lanjut.
“Seramai 42 individu diperiksa, manakala 101 saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Farhan, tujuan operasi adalah untuk membanteras aktiviti samseng jalanan agar pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta tidak menggugat ketenteraman awam.
Oleh Liong Chai Ling