
SIBU: Festival Tarian Antarabangsa Sibu (SIDF) edisi ke-11 yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 20 September ini dijangka berlangsung lebih meriah dengan penyertaan kira-kira 300 penari dari dalam dan luar negara.
Pengarah Artistik SIDF, Chen Ing Kuan berkata angka tersebut merupakan rekod tertinggi sejak penganjuran festival itu berbanding sebelum ini yang lazimnya mencatatkan sekitar 120 hingga 150 peserta dari luar Sarawak.
“Antara kumpulan yang kembali menyertai festival ini termasuk Solar Site Dance Theatre dari Taiwan, Singapore Chinese Dance Theatre, serta ASK Dance Company dari Kuala Lumpur yang hadir buat kali ketiga.
“Selain itu, Yu Hua Dance Group, University of the Philippines Dance Company dan Singapore Raffles Music College pula membuat penampilan kedua mereka, manakala La Salle Dance Company dari Filipina kembali untuk kali keempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran festival itu yang dirasmikan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, semalam.
Chen berkata festival kali ini turut menampilkan penyertaan dari China, Hong Kong, India, Indonesia, Mauritius, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Taiwan, Thailand serta Semenanjung Malaysia, sekali gus menyerlahkan kepelbagaian budaya, tradisi dan seni persembahan.
Festival itu akan diadakan di tiga lokasi utama iaitu Rejang Esplanade, Pasar Sentral Sibu dan Hotel RH.
Menurut Chen, SIDF kali ini membawa tema ‘Leap Across the Worlds’ yang menekankan semangat merentasi batas budaya, tradisi dan seni untuk saling belajar dan menghargai perbezaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan atas sokongan berterusan dalam menjayakan festival itu.
“SIDF tahun ini juga amat bermakna kerana Hornland Dance Theatre akan menyambut ulang tahun ke-30 pada hujung tahun ini dan kami berharap masyarakat dapat bersama-sama meraikan detik bersejarah ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting