
SolarStratos ketika percubaaan mencipta rekod berkenaan. Foto Solarstratos / AFP
GENEVA: Juruterbang Switzerland, Raphael Domjan, mencatatkan rekod ketinggian baharu bagi pesawat elektrik bertenaga solar apabila berjaya mencapai 9,521 meter (m) dalam penerbangan bersejarah dari Lapangan Terbang Sion di Switzerland.
Pasukan SolarStratos mengesahkan pencapaian berkenaan pada baru-baru ini, sekali gus mengatasi rekod terdahulu 9,235 m yang dipegang sejak 2010 oleh juruterbang Solar Impulse, Andre Borschberg.
Penerbangan Domjan yang mengambil masa lima jam sembilan minit itu menggunakan aliran udara panas (termal) untuk mendaki melepasi penanda aras lama dalam bidang penerbangan lestari.
“Saya berkongsi detik kegembiraan ini bersama semua pihak yang bertahun-tahun membuat persiapan bagi pencapaian ini,” kata Domjan sambil meraikan kejayaan itu dengan hidangan tradisional Switzerland iaitu raclette.
Dalam pada itu, data penerbangan akan disahkan oleh Persekutuan Sukan Udara Dunia bagi mengiktiraf rekod baharu itu menggunakan ukuran ketinggian ketumpatan piawai.
Domjan kini menyasarkan penerbangan melebihi 10,000 m menggunakan tenaga solar. Altitud itu menyamai ketinggian penerbangan komersial.
Pasukan SolarStratos turut berhasrat mencapai penerbangan berawak pertama ke stratosfera pada ketinggian kira-kira 12,000 m.
“Pencapaian ini menandakan satu detik penting dalam usaha mencapai stratosfera hanya dengan menggunakan tenaga solar,” kata pasukan SolarStratos.
Misi mereka bertujuan membuktikan potensi tenaga boleh diperbaharui serta memberi inspirasi kepada usaha melindungi alam sekitar. – AFP