
KRIAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Lempa kini berwajah baharu apabila sebuah dewan serbaguna siap dibina dengan menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata dewan tersebut menjadi mercu tanda baharu sekolah dan bakal memberi manfaat besar kepada pelajar, guru serta penduduk sekitar.
Menurutnya, kemudahan itu bukan sahaja untuk kegunaan aktiviti pembelajaran, malah turut menjadi ruang sesuai bagi pelbagai aktiviti sukan, sosial dan komuniti.
“Dewan ini dapat merapatkan lagi perpaduan, menjalin silaturahim serta mengukuhkan kerjasama dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan dewan tersebut semalam.

Friday menambah, penyediaan kemudahan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan seimbang di kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau turut mengingatkan agar dewan tersebut dijaga dengan baik supaya dapat digunakan dalam jangka masa panjang demi kepentingan generasi akan datang.
“Apabila terbinanya kemudahan ini, saya yakin ia akan dimanfaatkan sepenuhnya demi pembangunan modal insan dan keharmonian masyarakat setempat,” katanya.
Oleh Adi Safarman