KUCHING: Sarawak Energy komited ke arah persekitaran bebas rasuah dengan terus menanamkan budaya integriti ke dalam organisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili berkata, antara usaha yang dilakukan adalah dengan mewujudkan kesedaran melalui pelbagai program, proses dan inisiatif dan melaksanakan polisi yang mana setiap kakitangan menggunakannya sebagai panduan.
“Sebagai sebuah syarikat yang diberi tanggungjawab untuk memacu pertumbuhan Sarawak dan rakyatnya, kita harus menjalankan perniagaan dengan tahap integriti tinggi.
“Kita di Sarawak Energy telah menegaskan bahawa tidak ada ruang untuk tidak mematuhi kod etika yang ditetapkan dan sesiapa yang didapati bersalah melakukan kesalahan akan menghadapi hukuman disiplin,” tegasnya dalam kenyataan, semalam.
Beliau turut menekankan pentingnya tadbir urus korporat yang kuat untuk ketelusan yang lebih besar dikalangan pekerja untuk memastikan dapat menyampaikan perkhidmatan yang mempunyai standard tinggi.
“Pembangun tenaga dan utiliti tenaga memberi latihan kepada pekerja untuk mewujudkan kesedaran dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai undang-undang antirasuah Malaysia dan bagaimana mencegah rasuah di tempat kerja.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita menanamkan integriti dengan tegas ke dalam tingkah laku organisasi di bawah nilai teras syarikat,” jelasnya.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada kempen berterusan, syarikat mengadakan sesi e-elektronik mengenai tadbir urus dan pematuhan baru-baru ini dengan menjemput penceramah khas iaitu Timbalan Pengarah (Pencegahan )Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Chang Ching.
Turut hadir, Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Ahli Lembaga Sarawak Energy Dato Sri Fong Joo Chong, Naib Presiden Kanan Sarawak Energy (Risiko Undang-undang dan Perusahaan) Nooruddin Liew Abdullah serta lebih daripada 200 kakitangan syarikat.
Pada majlis itu, Chang berkongsi kemas kini mengenai rasuah dan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A baru Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Pindaan 2018) yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2020 yang kini mengenakan tanggungjawab ke atas perniagaan atas segala kesalahan yang dilakukan oleh orang yang berkaitan dengan perniagaan yang sama.
Sementara itu, awal tahun ini, Sarawak Energy melancarkan kempen seluruh kumpulan untuk semua kakitangan menandatangani ikrar integriti untuk memastikan kesedaran mengenai pentingnya integriti sebagai nilai teras dan mencapai tahap kejayaan 100 peratus dengan semua pekerja menandatangani komitmen mereka.