
BINTULU: Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Murum menyatakan sokongan penuh terhadap Kennedy Chukpai Ugon untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda PRS pada Mesyuarat Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu, yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober ini.
Ketua Pemuda PRS Bahagian Murum merangkap Exco Pemuda PRS, Patrick Uban berkata, beliau yakin Kennedy akan memperoleh sekurang-kurangnya lapan daripada 23 pencalonan sah yang diperlukan untuk melayakkan diri bertanding jawatan tersebut.
“Sejak penubuhan PRS pada 2004, jawatan Ketua Pemuda secara tradisinya diisi pemimpin daripada pelbagai kaum bagi memastikan kestabilan dan keseimbangan kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak 2004, jawatan Ketua Pemuda PRS telah dipegang oleh Datuk Mong Dagang (Iban), Datuk Liwan Lagang (Orang Ulu) YB Datuk Snowdan Lawan (Iban).
Patrick berkata, Kennedy wajar meneruskan legasi kepimpinan inklusif yang diasaskan oleh presiden terdahulu, Mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing.

Kennedy, yang kini Ketua Bahagian Murum dan Ahli Majlis Tertinggi PRS Pusat sejak 2016, pernah berkhidmat sebagai Naib Ketua Pemuda PRS di bawah Mong Dagang, serta Ketua Pemuda Bahagian Belaga dari 2004 hingga 2016 sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.66 Murum.
“Rekod perkhidmatan beliau membuktikan kesetiaan, komitmen, dan pengalaman luas dalam organisasi parti.
“Kami yakin beliau mampu memperkukuh sayap Pemuda PRS jika diberi mandat,” ujar Patrick.
Oleh Carolyne Utih