
PETRA JAYA: Bangunan kampus kekal Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Dalat kini siap 98 peratus dan dijangka mula beroperasi September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata perasmian CENTEXS Dalat akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Oktober ini.
Menurutnya, pelajar CENTEXS Dalat yang kini ditempatkan di CENTEXS Mukah akan berpindah ke kampus baharu sebaik sahaja operasi dimulakan.
“Kampus ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk asrama lelaki dan perempuan, pusat bahasa, bilik darjah digital, bilik elektrik, fesyen, blok kimpalan serta kursus khas pembinaan bot komposit yang tidak terdapat di pusat lain,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Selain itu, katanya, Pesta Besaug 2025 yang merupakan edisi ke-25 akan turut dirasmikan oleh Premier Sarawak pada hari yang sama kelak.
Beliau memberitahu, pesta yang diadakan setiap dua tahun sekali itu bakal menampilkan pertandingan bidar, aktiviti kebudayaan pada waktu malam serta aktiviti jual beli yang menjadi tarikan utama penduduk setempat.
Dalam pertemuan itu, Fatimah turut memohon nasihat Premier Sarawak berhubung pembangunan Dalat Boutique Hotel dan cadangan tersebut mendapat persetujuan dengan pembinaan akan dibiayai kerajaan Sarawak manakala operasi diserahkan kepada pihak swasta.
-UKAS